Kalau anda ibubapa atau abang kakak kepada lulusan SPM terkini, kongsikan pengalaman saya ini kepada anak dan adik anda:
Selepas SPM (12A aliran sains), saya pilih untuk belajar Bahasa Arab dan asas-asas untuk memahami prinsip, kaedah, maqasid, dan hukum-hakam Islam di peringkat sarjana muda.
Ketika itu memang niat saya ialah supaya saya ada ‘baseline’ yang betul untuk meneroka pula pelbagai disiplin ilmu yang lain. ‘Baseline’ bahasa saya perolehi apabila berjaya – dengan izin Allah – membaca bahan-bahan ilmu dalam 3 bahasa (Arab, Inggeris, dan Melayu) dengan baik. Saya masih ingat ketika di sekolah menengah seorang guru saya berpesan kepada saya, “kuasai bahasa, kamu akan kuasai ilmu”.
‘Baseline’ meneroka ilmu-ilmu lanjutan saya perolehi dengan mempelajari segala disiplin asas dalam memahami syariah Islam (termasuklah asas ijtihad) ketika di Al-Azhar.
Alhamdulillah, dengan ‘baseline’ ini saya yakin untuk meneroka cabang ilmu yang lain yang saya minati seperti ilmu sains politik, hubungan antarabangsa, ekonomi, sejarah, sosiologi, perundangan, dan sastera, di peringkat ijazah lanjutan. Penerokaan ini berlaku dalam keadaan saya melangkah dengan sedar di manakah ‘garis merah’ pemikiran yang perlu saya berhati-hati agar tidak terjerumus ke dalam perangkap gelap falsafah-falsafah manusiawi.
Tanpa ‘baseline’ dan asas yang dipasak kepada kesempurnaan Islam, saya tidak yakin seseorang itu boleh melangkah jauh dalam usaha menimba ilmu yang benar. Kaedah memperolehi ‘baseline’ itu mungkin pelbagai (ada yang melaluinya di luar bilik darjah, tiada masalah) namun kepentingannya tidak boleh disangkal lagi.
Mungkin ada yang tanya berbaloi ke untuk karier kalau mengikut laluan seperti saya? Saya teringat ketika ditemuramah oleh CEO MAIWP pada tahun 2009 untuk biasiswa, saya disoal oleh beliau, “Balik dari Mesir kamu nak kerja apa?”
Jawapan saya kepada beliau, “Saya tidak akan cari kerja. Saya mahu cari ilmu dan kemahiran sungguh-sungguh. Nanti kerja akan cari saya.”
Sesiapa yang jemput saya beri perkongsian tentang halatuju selepas SPM, pengalaman di atas lah yang akan saya kongsikan.
Saya harap akan muncul generasi baru dalam umat Islam yang boleh menjadi pemimpin dan sarjana dalam bentuk yang baru, untuk memandu umat Islam ke satu tahap yang baru.
Ustaz Syed Ahmad Israa’ Syed Ibrahim,
Ketua Pegawai Eksekutif, IRIS Institute